SHAH ALAM – Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menasihatkan semua pihak agar tidak membuat pelbagai spekulasi membabitkan isu Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun seperti dipersetujui PH sebelum ini.
Ibrahim berkata, dia yakin Tun M mengotakan janji kepada Anwar dan semua pihak jangan membuat andaian yang akhirnya akan memecah-belahkan masyarakat khususnya orang Melayu.
Menurutnya, yang membuatkan orang Melayu berpecah-belah ialah pemimpin berulang-kali melaungkan nasihat orang Melayu jangan berpecah belah sedangkan pemimpin yang sama sendiri tidak berpuas hati dan cukup dengan apa yang ada.
“Tun M dah buat penegasan akan serah jawatan dua tahun kepada Anwar, hentikanlah spekulasi dan kata-kata nakal Tun M akan membuat apa sahaja secara halus untuk menghalang Anwar menjadi PM ke lapan.
“Tun M sudah lanjut usia perlu masa untuk berehat dan lebih beribadat. Anwar juga sudah melebihi 70 tahun dan memerlukan masa bila jadi PM untuk membuktikan kepimpinannya yang berkesan.
Lagipun misi Tun M pada asalnya nak jatuhkan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai PM sudah pun tercapai,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Ibrahim berkata demikian susulan Bersatu Bahagian Setiawangsa meluluskan usul Isnin lalu yang mahukan Tun M terus menerajui PH sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15.
Beliau berkata, semua pihak mesti memainkan peranan dan memastikan pisang tidak berbuah dua kali.
“Jika peristiwa 1998 berulang ianya membawa kesan yang buruk kepada kestabilan politik negara dan rakyat akan terus berpecah terutama dalam kalangan penyokong tegar.
“Gajah sama gajah berlaga semut semua terpijak. Kemudian rakyat di persalahkan. Bercakaplah para pemimpin,rakyat makin berpecahbelah, apatah lagi orang melayu tapi sedar atau tidak,yang memecahbelahkan rakyat adalah pemimpin yang selalu berkata kita jangan berpecah belah tapi diri sendiri yang sentiasa tidak puas hati dan cukup dengan apa yang ada.
Menurutnya, dia pernah terlibat dan menyaksi pertembungan rebut kuasa yang akhir ahli parti atau rakyat menjadi mangsa.
“Tukang kipas, tukang cucuk dan batu ronson semua bersorak kerana mereka dapat cari makan kerana masing-masing ada peranan pada bos (ketua).
“Utamakan kehidupan rakyat yang diberi janji dengan penuh harapan. Saya penuh yakin Tun M akan menepati janjinya demi harga diri Tun M sendiri sebagai seorang pemimpin buat sebagaimana cakap. Sama sama kita tunggu dan lihat,” katanya.