ANGGOTA polis maut selepas kereta peronda dinaikinya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 297.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara berhampiran Kajang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Koperal Dommy Tugok, 30-an, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shari'at berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap bas di laluan kecemasan.
“Kejadian berlaku apabila SUV dipandu lelaki berusia 21 tahun hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dinaiki mengsa dari arah belakang.
“Kereta peronda terbabit berada di belakang bas berkenaan ketika kejadian.
“Anggota polis berkenaan yang berada bersebelahan kereta peronda terbabit kemudian tercampak ke pembahagi jalan akibat pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azman berkata, mayat mangsa yang bertugas di JSPT Bukit Aman itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Pemandu SUV terbabit yang tidak mengalami kecederaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : Harian Metro